BALIK PULAU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa bertemu penduduk di sekitar daerah ini dalam sesi ramah mesra bersama warga Balik Pulau di tapak pasar malam di pekarangan Masjid Daerah Barat Daya, di sini petang tadi.
Ini merupakan penampilan pertama beliau di Balik Pulau selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November tahun lalu.
Anwar sebelum itu tiba kira-kira pukul 6.30 petang diiringi Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Halim Hussain dan lain-lain pemimpin setempat.
Di kesempatan itu, Perdana Menteri turut meluangkan masa bermesra dan bertanya khabar dengan para pengunjung malah tidak menolak ajakan untuk bergambar.
Seorang penduduk Balik Pulau, Anwar Yaakob, 63, berkata, dia menunggu selama 25 tahun untuk bertemu Anwar sebagai Perdana Menteri.
“Saya merupakan penyokong dan peminat Anwar, saya berminat dengan perjuangan beliau yang istiqamah sejak dari zaman muda hingga sekarang.
“Kebetulan saya melalui kawasan tapak pasar malam ini dan rakan-rakan beritahu Anwar ada di sini jadi saya tidak lepaskan peluang bertemu dengan beliau,” katanya ketika ditemui di pasar malam Balik Pulau, di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Mohd Faisol Hassan, 57, pula berkata, dia sentiasa mengikuti perkembangan politik Anwar sehingga beliau menjadi Perdana Menteri.
“Saya anak kelahiran Sungai Rusa namun saya berpindah ke Kedah kerana bertugas. Saya ambil cuti hari ini untuk pulang ke kampung bertemu dengan Perdana Menteri di Balik Pulau dan rakam gambar kenangan bersama beliau,” katanya. – KOSMO! ONLINE