PETALING JAYA – Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri pementasan teater ‘Cikgu Anda’ malam tadi.
Anwar berkata, pementasan teater itu anjuran Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia dengan kerjasama Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia.
“Teater ini untuk mengangkat Yayasan Anda Akademik (YAA) iaitu institusi pendidikan swasta yang saya asaskan bersama rakan-rakan siswazah universiti tempatan pada 1971.
“Penghargaan saya buat pasukan penerbitan kerana dapat mengangkat naskhah berhubung sejarah penubuhan YAA untuk dipertonton kepada umum,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar seterusnya berkata, beliau mengajak masyarakat supaya memberi tumpuan untuk meningkatkan mutu pendidikan dengan mengutamakan kekuatan nilai dan akhlak yang baik.
“Dengan berpandukan nilai serta akhlak, negara dapat melahirkan insan yang berilmu dan akademis kerana mengamalkan prinsip agama,” katanya. – KOSMO! ONLINE