PETALING JAYA – “Alhamdulillah, perjumpaan dengan Humairah dan Umar selepas tiga bulan tidak berjumpa”.
Demikian luahan pelakon Hafidz Roshdi apabila dapat melepaskan rindu bertemu dengan dua permata hatinya, Humairah, 6, dan Umar, 2.
Detik menggembirakan itu dikongsikan Hafidz, 29, dalam Instagramnya ketika berkunjung ke kediaman dipercayai milik mentuanya di Kangar, Perlis, hari ini.
Dalam hantaran yang menyebut mereka dapat bersatu kembali itu, Hafidz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafidz Roshdi dilihat rancak melayani anak-anaknya bermain sambil berbual.
Turut kelihatan adalah beberapa bungkusan besar serta pelbagai permainan sebagai buah tangan buat insan kesayangannya itu.
Begitupun, dalam beberapa hantaran gambar serta video dikongsikan tidak kelihatan kelibat isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29.
Pada Jumaat lalu selepas pembentangan laporan perubatan di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Hafidz meluahkan hasrat ingin menyambut hari raya Haji dengan anak-anaknya.
Sebelum ini, Hafidz pernah mendedahkan Nurul Shuhada menghalangnya berjumpa Humairah dan Umar namun perkara tersebut dinafikan wanita itu.
Berikutan krisis antara mereka, aktor tersebut mendakwa dia hanya berpeluang berhubung dengan kedua-dua anaknya hanya menerusi panggilan video.
Rentetan itu, bintang drama Melastik Ke Hatimu itu turut memfailkan dua hadanah penuh dan sementara terhadap dua anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, pada 18 April lalu.
Terdahulu, Hafidz pernah meluahkan rasa sedih apabila tidak berpeluang meraikan Aidilfitri bersama dua anaknya.
Nurul Shuhada yang berkahwin Hafidz pada 30 April 2016 dan memfailkan perceraian pada 27 Februari lalu susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga. – KOSMO! ONLINE