GLASGOW, Scotland – Sepasang suami isteri terkejut melihat sekumpulan ubur-ubur besar yang mereka dakwa mempunyai saiz lebih besar daripada tayar kereta terdampar di tepi sebuah pantai di Scotland, lapor portal berita Daily Star semalam.
Tate Tremayne, 23, dan pasangannya berkata, mereka sedang berjalan di tepi pantai di Portpatrick apabila ternampak haiwan raksasa itu.
“Saya kagum dengan saiznya apabila melihat ubur-ubur itu. Saya tidak percaya kami mempunyai haiwan begitu di perairan kami,” katanya dengan nada terkejut kepada portal berita YorkshireLive.
Lelaki itu kemudian merakam beberapa gambar ubur-ubur itu yang menunjukkan seekor berada di dalam laut dan dua lagi yang berlainan jantina terdapat di atas pasir.
Haiwan yang terdapat dalam gambar itu berwarna oren.
Dia menambah: “Saya tidak takut seperti apa yang saya rasa jika berada di dalam laut. Saya cukup bernasib baik kerana hanya berjalan-jalan dengan pasangan apabila kami menemui empat ekor ubur-ubur. Saya tidak pasti sama ada ia akan menyengat atau tidak.
“Ia pasti lebih besar daripada tayar kereta,” katanya – Agensi