KLANG – Sepasang suami isteri antara tujuh terselamat dalam kebakaran melibatkan tiga unit rumah teres di Taman Sri Puteri, pagi tadi.
Kedua-duanya berusia 50 dan 60-an itu berjaya keluar sendiri melalui pintu belakang rumah mereka.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Selangor, Muhammadul Ehsan Mohd. Zain berkata, seramai 25 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Kota Raja dan Pelabuhan Klang digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 8.05 pagi.
Katanya, semasa kejadian terdapat tujuh penghuni bagi tiga buah rumah tersebut berjaya menyelamatkan diri termasuk pasangan suami isteri.
“Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah kereta yang berada di sekitar lokasi. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa sepanjang kebakaran tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas beliau, kebakaran berjaya dikawal pukul 8.28 pagi dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE