PETALING JAYA – Semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik diharap dapat memberikan sokongan sebulat suara terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang akan dibawa ke Dewan Rakyat untuk Bacaan Pertama, pada Isnin ini.
Harapan itu disuarakan oleh Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berhubung pembentangan RUU tersebut sekali gus dalam membina generasi bebas rokok di negara ini.
“Saya dengan rendah hati mengajak semua Ahli Parlimen merentas identiti kepartian untuk sebulat suara menyokong RUU ini. Tanggungjawab membina generasi bebas rokok kini di tangan kita. Bersama kita lunaskan,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Beliau berkata, RUU itu telah diolah semula dengan beberapa pembaharuan setelah mengambil kira isu berbangkit semasa pembentangan sebelum ini serta syor daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
“Peruntukan Generasi Penamat Rokok (GEG) dikekalkan.
“Bagi merangka RUU yang lebih komprehensif, kira-kira 70 sesi libat urus telah diadakan dengan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO), pakat perubatan, pemain industri, ibu bapa dan lain-lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE