fbpx

‘Saya hilang tiga anak lelaki yang sangat baik serentak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JENAZAH tiga beradik disembahyangkan selepas dituntut ahli keluarga mereka.

ROMPIN – Seorang wanita melalui ujian berat dalam hidupnya apabila kesemua tiga anak lela­ki­nya meninggal dunia selepas mereka terbabit dalam kemala­ngan di Kilometer 136, Jalan Kuantan-Johor Bahru di sini semalam.

Nahas pada pukul 7.20 malam itu meragut nyawa Muhammad Firdaus Abu Bakar, 28, yang juga orang kelainan upaya (OKU) bersama dua adiknya, Muhammad Solihin, 21, dan Ahmad Jazuly, 17.

Dalam kejadian itu, lori yang dinaiki tiga beradik tersebut bertembung dengan sebuah kren dari arah bertentangan.

GAMBAR kenangan Norezah (duduk, kanan) bersama arwah tiga anak lelakinya yang maut dalam nahas kelmarin.

Ibu mereka, Norezah Rejab, 51, ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Rompin semalam bagaikan hilang kata-kata dan sebak sehingga terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarganya.

Selain tiga beradik itu, Norezah memiliki dua anak pe­rempuan berusia 16 dan 21 tahun.

Adik bongsu mangsa, Nur Faqihah, 16, berkata, sebelum kejadian, dia sekeluarga merancang untuk membuat kejutan sempena hari lahir abangnya, Ahmad Jazuly yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Rompin ­Permai.

“Semalam (kelmarin) merupakan hari jadi abang (Ahmad Jazuly). Kami memang mahu me­nyambutnya pada sebelah malam, tetapi tidak sangka kemalangan ini meragut nyawanya dan dua lagi abang yang lain,” ­katanya ketika ditemui semalam.

Menurut remaja itu, hubu­ngannya dengan arwah tiga abangnya juga sangat akrab.

Ceritanya, sebelum kejadian, abang sulungnya menaiki kereta bersama kakak dan ibu untuk ke Kampung Setajam bagi membantu ibunya mengangkat benih padi yang diusahakan di kawasan itu.

Ahmad Jazuly kemudian menaiki lori bersama abangnya untuk balik ke rumah mereka di Kampung Sungai Kolek.

“Semasa pulang, kakak dan ibu singgah di stesen minyak, manakala abang pula meneruskan perjalanan. Memang tak sangka mereka terlibat dalam kemalangan,” katanya.

KEADAAN lori dinaiki tiga beradik yang terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawa mereka di Rompin malam kelmarin.

Sementara itu, bapa mangsa, Abu Bakar Ibrahim, 54, berkata, semasa kejadian, dia berada di Terengganu atas urusan kerja dan hanya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh iste­ri­nya melalui panggilan telefon.

“Sebelum itu, pada pukul 5.10 pagi, Solihin (anak) hantar kiriman mesej minta saya mendoakan dia agar dipermudahkan menjawab peperiksaan di Poli­teknik Muadzam Shah.

“Selepas itu, isteri menelefon beritahu Solihin maut. Kemudian dia hubungi semula dan beritahu Firdaus dan Ahmad Jazuly pula meninggal dunia,” katanya.

Selain itu, jelas Abu Bakar, ­Ahmad Jazuly juga ada menghantar pesanan WhatsApp untuk me­ngingatkannya tentang hari jadinya selain meminta kasut sebagai hadiah.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd. Azahari Mukhtar berkata, kejadian berlaku apabila lori dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kren. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI