KUCHING – Seorang pesakit kanser usus lesap wang simpanannya sebanyak RM1.2 juta selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon (Phone Scam).
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, 66, yang juga pesara sebuah syarikat swasta di Miri semalam, setelah menyedari dirinya ditipu.
Katanya, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali yang mengaku daripada Kementerian Kesihatan Malaysia pada 18 April lalu sebelum disambungkan kepada suspek yang mengaku sebagai Sarjan Wong dan Inspektor Khoo dari Kota Kinabalu, Sabah.
Beliau berkata suspek kemudian mengatakan mangsa terlibat dengan kes penggubahan wang haram dan tangkapan akan dibuat ke atas mangsa.
“Mangsa menafikan dakwaan tersebut dan memohon agar dirinya tetap berada di bandar raya Miri semasa siasatan dijalankan kerana dia menghidap kanser usus.
“Selepas itu, suspek meminta mangsa memberikan maklumat perbankan dan butiran kewangan miliknya sebelum diarahkan oleh suspek membuka dua akaun bank baharu bagi memudahkan siasatan dijalankan ke atas mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menjelas lanjut, Mohd Azman berkata mangsa kemudian membuka akaun bank baharu di dua buah institusi kewangan di Miri pada 19 dan 20 April lalu sebelum memberikan maklumat akaun baharu serta kata ID dan kata laluan perbankan dalam talian kepada suspek.
“Selepas itu mangsa diarahkan oleh suspek untuk memindahkan wang berjumlah RM1.2 juta melalui empat transaksi dari akaun Ambank dan akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya ke dua akaun bank yang baharu dibuka itu.
“Mangsa hanya menyedari ditipu setelah memeriksa baki wang di dalam kedua-dua akaun bank baharu miliknya pada 8 Jun lalu dan mendapati wangnya berjumlah RM1.2 juta telah dipindahkan dari akaunnya ke akaun yang tidak dikenali secara berperingkat antara 19 April hingga 3 Mei lalu,” katanya.
Susulan itu, beliau berkata mangsa tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE