PETALING JAYA – Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing merangkul kejuaraan kedua mereka selepas menjuarai Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Maldives 2023 sebentar tadi.
Pang Ron, 25, dan Mei Xing, 26, menewaskan pilihan utama kejohanan dari Amerika Syarikat, Vinson Chou-Jennie Gai dengan kemenangan straight-set 21-13, 21-18 pada aksi final di Kompleks Sukan Male itu.
Ia membuktikan beregu di ranking ke-49 dunia itu semakin serasi dan memahami antara satu sama lain sejak kali pertama mereka memenangi Cabaran Antarabangsa Malaysia pada Disembert tahun lalu.
Dalam masa sama, kejayaan itu mampu mengubati kekecewaan Pang Ron-Mei Xing yang sebelum ini dikecewakan satu lagi gandingan campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pada final Cabaran Antarabangsa Iran, Februari lalu.
Bagaimanapun, harapan Malaysia untuk melihat dua lagi wakil negara menaiki podium juara pada perlawanan akhir kejohanan itu hari ini tidak kesampaian.
Perseorangan lelaki profesional, Soong Joo Ven tewas 19-21, 18-21 kepada R. Ravi dari India, manakala beregu lelaki profesional, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong pula dikecewakan pasangan Thailand, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa Nga 19-21, 16-21. – KOSMO! ONLINE