BARCELONA – Kekecewaan gergasi Sepanyol, Barcelona berikutan keputusan legenda mereka, Lionel Messi yang mahu menyertai Inter Miami mungkin bakal terubat dengan perkembangan terbaharu.
Bekas bintang mereka, Neymar dilaporkan sanggup untuk kembali ke Camp Nou setelah khidmatnya tidak lagi diperlukan di Paris Saint-Germain biarpun masih memiliki kontrak berbaki bersama pasukan itu.
Laporan turut menyebut bahawa bintang Brazil berkenaan bersedia untuk kembali ke Catalonia dengan gaji yang lebih rendah dalam usaha merealisasikan harapannya beraksi semula bersama Barcelona.
Pemain berusia 31 tahun berkenaan sebelum ini menghabiskan tempoh selama empat musim di Barcelona antara tahun 2013 hingga 2014 sebelum berhijrah ke PSG dengan nilai perpindahan RM1.1 bilion dan masih menjadi rekod dunia ketika ini.
Bagaimanapun, kariernya bersama kelab Perancis itu dilihat tidak berjalan lancar apabila gagal menghadiahkan gelaran Liga Juara-Juara menyebabkan timbulnya spekulasi penghijrahannya musim panas ini.
Barca sebelum ini sangat berharap dengan kepulangan Messi yang dianggap sebagai pemain yang mampu memberikan impak besar di padang, malah jurulatih pasukan itu, Xavi Hernandez sudah bersiap dengan perancangan untuk memberikan pemain itu peranan sebagai kapten. – AGENSI