WASHINGTON – Seorang nelayan di Amerika Syarikat (AS) terkejut apabila menaikkan seekor makhluk parasit yang kelihatan begitu menyeramkan, lapor akhbar Daily Star UK semalam.
Eric Osinskie menangkap haiwan itu di Lembah Hudson, negeri New York pada 4 Jun lalu.
Dia berkongsi gambar haiwan yang kelihatan seakan belut dengan deretan gigi tajam itu di laman Facebook Catskill Outdoors.
Osinskie memberitahu majalah Newsweek: “Ia adalah perkara paling aneh pernah saya tangkap. Ia mungkin sepanjang 60 sentimeter atau lebih panjang.
“Saya sebenarnya tersilap menangkapnya. Saya fikir ia adalah kayu pada awalnya,” katanya.
Haiwan itu sebenarnya adalah lamprei laut yang kadang-kadang dikenali sebagai ‘ikan pontianak’.
Ia akan berhijrah ke sungai untuk bertelur dan menggunakan mulutnya untuk menyedut darah haiwan lain.
Mangsa kebiasaannya mati akibat kehilangan darah atau jangkitan lain. – Agensi