KEMUNCULAN Andmesh Kamaleng di Malaysia sememangnya sudah lama menjadi penantian.
Emosi tersebut jelas dapat disaksikan apabila Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dibanjiri hampir 3,000 penonton pada 4 Januari lalu.
Andmesh membuka pentas menerusi lagu Ku Mau Dia yang berentak pop balada sebelum disusuli dengan Bisa Tanpamu dan Jangan Lupakan Aku.
Menerusi Jangan Lupakan Aku, Andmesh yang segak menggayakan sut berwarna biru itu muncul menyanyi sambil bermain keyboard.
Usai membuai emosi ramai dengan vokal merdunya, penyanyi berusia 25 tahun itu menitipkan ucapan penghargaan buat peminat di Malaysia yang sentiasa menyokongnya selama ini.
“Ini pengalaman luar biasa dan pencapaian besar dalam hidup apabila berpeluang mengadakan konsert di Kuala Lumpur.
“Sebagai anak kelahiran Indonesia yang hadir dari jauh, terima kasih untuk apresiasi daripada kalian,” katanya sebelum disambut tepukan gemuruh penonton.
Usai titipan apresiasi, anak kelahiran Pulau Alor, Nusa Tenggara Timur, Indonesia seterusnya menyajikan Terlalu Berharap yang sebelum ini dicipta khas untuk Rossa.
Tribute
Bukan hanya memukau dengan kehebatan vokal, lelaki bertubuh gempal itu seterusnya membuat hampir semua penonton yang hadir bagai direntap syahdu menerusi lagu tribute buat mendiang ibu bapanya iaitu
Yes Kamaleng dan Bernadeta Laure.
Luka dan Hanya Rindu, dua buah lagu yang membuatkan Andmesh tidak dapat menahan sebak, lantas menitiskan air mata disaksikan ribuan pemujanya.
Lebih menghibakan suasana, dua adik perempuannya muncul di pentas dan memeluk Andmesh sepanjang menyanyikan lagu Hanya Rindu.
“Kurindu senyummu ibu, ku rindu pelukmu.” Itu lirik yang tidak mampu membendung air mata setiap hadirin gugur membasahi pipi.
Akui Andmesh, tiada gambaran kesyukuran yang mampu terucap apabila memiliki ibu bapa yang menyokong minat untuk bergelar penghibur.
“Saya berjaya mewujudkan mimpi ayah untuk menjadi seorang anak seni. Bagi saya, karya yang jujur akan sentiasa sampai ke hati pendengarnya.
“Tidak kiralah ibu bapa saya ada atau tidak, pastinya mereka bangga melihat saya dari ‘sana’ yang sedang berdiri membuat persembahan di sini,” ujarnya.
‘Bawa Sial’
Memasuki babak kedua acara, Admesh membuat kejutan dengan menghubungi penyanyi Mahalini menerusi panggilan video.
Tindakan tersebut seolah-olah meminta restu sebelum mendendangkan lagu Sial iaitu hasil ciptaannya untuk si kekasih hati Rizky Febian itu.
Momen lucu tercetus apabila Andmesh menuturkan ayat ‘bawain sial’ namun disahut dengan laungan ‘salah’ daripada penonton kerana berasakan perkataan tersebut seperti ingin membawa bala atau perkara kurang baik ke acara tersebut.
“Bawain (mendendangkan) sial bermaksud membawa sial (perkara tidak baik).
“Seharusnya berkata menyanyikan lagu Sial, baru betul,” selorohnya kepada Mahalini sebelum seluruh dewan bergema dengan gelak tawa.
Hampir dua jam melontarkan nyanyian menerusi 15 buah lagu, Andmesh menutup acara dengan karya popularnya iaitu Nyaman dan Cinta Luar Biasa.
Menariknya, Cinta Luar Biasa dimulakan dengan rentak balada sebelum ditukar menjadi muzik pop yang membuatkan penonton berdiri dan menari bersama.
“Terima kasih Malaysia, anda menjadi semangat saya untuk terus menghasilkan lebih banyak karya selepas ini.
“Semoga kita boleh bertemu lagi Kuala Lumpur,” katanya pada akhir konsert.