KUALA LUMPUR – UMNO dicadang supaya mengumumkan calon terbaik parti tersebut dalam tempoh empat tahun setengah ini sebelum menempuh Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tradisi presiden dan parti yang hanya memperkenalkan calon-calon UMNO kira-kira dua hari sebelum tarikh pembubaran kerusi Parlimen atau kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini perlu diubah.
“Sebelum ini dua hari nak bertanding baru bagitau siapa calon kita, cadangan saya kali ini dalam tempoh empat tahun setengah ini kita terus umumkan calon terbaik yang boleh diketengahkan untuk bertanding.
“Kita tengok kerja dia (calon) dalam tempoh tersebut. Kalau dia bagus kita kekalkan kalau dia tidak bagus dalam tempoh setahun kita tukar kepada calon lain.
“Ini bagi saya pengundi atau rakyat akan nampak kerja calon dan parti kita di kawasan tersebut,” katanya ketika berucap pada Sesi Ucapan Pengulungan Persidangan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Tambah Johari, kekalahan UMNO dalam dua siri PRU sebelum ini perlu dipertanggungjawabkan kepada semua pihak termasuk pemimpin UMNO, Top 5, Majlis Kerja Tertinggi (MKT), ketua cawangan dan semua yang terlibat.
Jelasnya, untuk memenangi kembali hati pengundi, semua pihak perlu mempunyai mentaliti untuk menang kerana tiada yang mustahil.
Ujar beliau, paling penting adalah strategi yang diperkuatkan bagi menempuh PRU selepas ini.
“Kita semua perlu ada tiga mentaliti untuk menang. Yang pertama adalah kita perlu berfikir macam orang hendak menang, kedua cakap macam orang yang nak menang dan yang ketiga adalah melaksanakan (bertindak) seperti orang nak menang.
“Untuk kembali menang dalam pilihan raya nanti, UMNO juga perlu perkemaskan tiga perkara penting iaitu parti, calon serta jentera,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE