MEKAH – Jemaah haji dinasihatkan supaya membuat perancangan untuk melakukan ibadat supaya masa yang ada di Arafah, Muzdalifah dan Mina digunakan sebaik-baiknya dan tidak dibazirkan dengan melakukan perkara sia-sia.
Pengarah Operasi Bimbingan Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, jemaah juga perlu membuat semakan dengan pembimbing ibadat haji Tanah Suci (Pihtas) bagi memastikan rukun dan wajib ketika operasi masyair dilakukan dengan betul.
Katanya, operasi masyair merupakan hari yang ditunggu-tunggu kerana ia menjadi penentu sama ada ibadat haji seseorang itu diterima atau sebaliknya.
“Jemaah yang melakukan haji tamatuk mempunyai 13 larangan yang perlu dijaga. Apabila selesai solat, berdoa dan membaca al-Quran di Arafah, jemaah akan pergi ke Muzdalifah sehingga tengah malam.
“Selepas itu bertolak di Mina untuk melakukan ibadat melontar dan bermalam bermula pada 10 Zulhijjah.
“Kemudian balik ke Mekah untuk tawaf rukun,” katanya.
Menurut Tengku Aziz, jemaah perlu sentiasa merujuk kepada Pihtas pada setiap ibadat yang dilakukan supaya tidak keliru dan tiada kesalahan.
Tambahnya, iika ditimpa masalah, jemaah juga perlu memohon kepada Allah terlebih dahulu supaya dipermudahkan urusan sebelum meminta bantuan Pihtas atau Tabung Haji.
“Jemaah juga perlu membayar dam tamatuk dan digalakkan melakukan korban kerana pahalanya yang besar di Tanah Suci,” katanya. -KOSMO! ONLINE