MELAKA – Kekusutan seorang ibu tunggal memikirkan masa depannya menyara lapan anak selepas kematian suaminya baru-baru ini terlerai apabila dia menerima pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Suri rumah, Siti Suryati Sani, 41, berkata, pencen yang diterima secara bulanan sebanyak RM1,775.42 sangat melegakan untuk menyara hidupnya selepas Allahyarham suami, Khirul Azlizam Mohamed, 41, meninggal dunia kerana masalah jantung di Hospital Melaka di sini, pada 26 Mei lalu.
Menurutnya, wang tersebut sekurang-kurangnya dapat membiayai enam anaknya yang bersekolah berusia antara 11 bulan hingga 15 tahun.
“Kehidupan saya sangat tertekan selepas suami meninggal dunia akibat masalah jantung baru-baru ini. Saya hilang tempat bergantung kerana segalanya ditanggung arwah suami.
“Kini saya dan anak-anak terpaksa keluar dari rumah sewa yang kami duduki di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam kerana sewa tertunggak selama 10 bulan, keseluruhan berjumlah RM4,000.
“Keadaan ini menyebabkan saya terpaksa berpindah ke rumah ibu yang terletak tidak jauh dari rumah sewa dan di sinilah saya memulakan hidup baru membesarkan lapan anak,” katanya kepada pemberita selepas dilawati Skuad Perkeso Prihatin. – KOSMO! ONLINE