KUALA LUMPUR – Penyanyi bersuara lunak, Ibnor Riza, 62, kini kehilangan mata pencarian kerana tidak mampu lagi menyanyi sejak disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat.
Menurut pelantun lagu “Mimpi Yang Tak Sudah” dan “Berdiri Seorang Perindu” itu, beliau baru sahaja melakukan sesi kemoterapi kali kelima dua hari lepas dan dijadualkan untuk melakukan tiga lagi sesi kemoterapi pada masa hadapan.
“Disebabkan penyakit yang dialami, saya tidak dapat bekerja dan menyara keluarga. Saya juga rasa tertekan kerana tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Isteri pula tidak bekerja dan anak masih bersekolah.
“Sudah hampir tujuh bulan saya tidak bekerja. Selama ini jugalah, saya telah menggunakan hampir kesemua duit simpanan yang ada untuk meneruskan kehidupan.
“Sekarang, saya sudah buang rasa malu untuk menerima bantuan. Malah, saya terima semuanya dengan tangan terbuka.
“Sebelum ini, kehidupan agak selesa kerana saya selalu ada buat persembahan. Tetapi, kini saya tidak boleh lagi menyanyi kerana suara saya rosak.
“Apabila suara tak ada, semua (persembahan) tak boleh jalan,” kata Ibnor ketika ditemui pemberita dalam Majlis Mata Kasih bersama Ibnor Riza.
Apabila ditanya tentang bantuan yang pernah diterima, Ibnor mengakui banyak menerima bantuan yang berbentuk ‘one-off’.
“Tidak dinafikan, ada banyak persatuan dan artis yang tampil ke hadapan memberikan bantuan. Tetapi, syukur, hari ini saya mendapat bantuan terbanyak, iaitu RM5,000 hasil sumbangan Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak.
Mengulas tentang penyakit yang dihidapi, Ibnor akui perlu kuatkan semangat untuk terus melawan kanser.
“Kanser darah (limfoma) ini bahaya dan tak sama seperti kanser yang lain. Kalau kanser lain, kita boleh potong dan buang bahagian yang dijangkiti. Tapi, kanser darah merebak ke seluruh badan.
“Kanser ini tidak ada ubatnya, ubatnya (semangat) kita. Selepas tamat sesi kemoterapi, mungkin saya akan sembuh seperti sediakala.
“Kanser bukanlah satu hukuman mati. Kepada penghidap kanser, kita kena kuat semangat. Dengan semangat itulah, kita akan pulih
“Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan artis yang banyak membantu dari segi tenaga dan ada juga yang memberikan sumbangan peribadi. Namun, yang paling berharga ialah sokongan dan kata-kata semangat daripada rakan-rakan,” katanya.
Majlis Mata Kasih bersama Ibnor Riza turut dihadiri oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Azman Abidin dan juga Pengerusi Kelab Falsafah Sebagai Pedoman Malaysia, Dato Ahmad Din selaku penganjur program. – KOSMO! ONLINE