PETALING JAYA – “Doakan saya pula.”
Demikian doa pelakon Puteri Sarah Liyana yang hadir dalam majlis perkahwinan pasangan selebriti Janna Nick dan Dini Schatzmann di Langkawi, Kedah hari ini.
Difahamkan, doa tersebut dititipkan buat dirinya agar dikurniakan kebahagiaan dalam hidup yang ketika ini bergelut turun naik mahkamah bagi menyelesaikan kes perceraian dengan suaminya, Syamsul Yusof.
Pada masa sama, ibu kepada dua cahaya mata itu menzahirkan kegembiraan dan mendoakan ikatan rakan baiknya itu bersama Dini berkekalan sehingga ke syurga.
“Tahniah Love (kesayangan) Janna dan Dini. Semoga berkekalan hingga ke Jannah,” tulisnya dalam sebuah status Instagram.
Perkongsian tersebut turut memperlihatkan pemilik nama lengkap Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, anggun menggayakan baju kurung serba putih sambil merakam momen sepanjang hari bersejarah tersebut.
Dalam hantaran lain, Puteri Sarah turut melayangkan doa buat pasangan pengantin supaya perkahwinan mereka sentiasa disirami kasih sayang.
“Semoga hari ini menjadi permulaan baik seumur hidup kalian, dipenuhi dengan cinta dan kasih sayang,” ujarnya lagi.
Selain Puteri Sarah, antara selebriti yang hadir pada majlis tertutup itu ialah Shila Amzah bersama tunangnya, Ubai, serta Erni Zakri, Nora Danish, Izzue Islam, Ain Edruce dan Dayah Bakar.
Terdahulu, keretakan rumah tangga Puteri Sarah bermula sejak dia mendedahkan diganggu pihak ketiga sebelum menfailkan cerai pada 16 Januari lalu disusuli tuntutan hadanah, nusyuz dan injuksi. -KOSMO! ONLINE