SEPANG – Atlet para negara yang menutup kempen temasya Sukan Para ASEAN (APG) Kemboja 2023 di Phonm Penh dengan penuh gilang-gemilang bakal meraih durian runtuh bernilai kira-kira RM1 juta daripada kerajaan.
Kontinjen Malaysia yang menyertai temasya dwitahunan tersebut melakukan kejutan apabila menutup acara sukan terbesar Asia Tenggara itu dengan 50 pingat emas, 38 perak dan 34 gangsa biarpun meletakkan 33 pingat emas sebelum ini.
Kesemua pemenang pingat di Kemboja tersebut akan meraih insentif melalui program Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) menyaksikan pemenang pingat emas bakal membawa pulang RM 20,000, manakala untuk pingat emas yang berikutnya RM 10,000.
Untuk acara berpasukan yang kurang daripada lima orang RM 5,000, manakala yang lebih akan meraih RM20,000.
“Ganjaran akan diberi melalui insentif sedia dan saya pasti pihak kerajaan akan menunaikan apa sahaja yang dijanjikan, saya tidak melihat ia satu masalah, walaupun kita sudah memenangi 50 pingat emas, saya percaya pihak Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengajukan perkara ini kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Nilainya mungkin melebihi RM1 juta, berdasarkan 50 pingat emas yang kami capai di Kemboja dan ditambah juga dengan pemenang pingat perak dan gangsa. Jadi mungkin nilainya akan lebih,” kata Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk R. Subramaniam ketika ditemui pemberita dalam Majlis Sambutan Wira dan Wirawati APG Kemboja 2023 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Kepulangan wira dan wirawati kontinjen Malaysia di KLIA semalam turut disambut isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Atlet renang para, Abdul Halim Mohamad yang berjaya menuai lima pingat emas bakal merima hadiah paling lumayan selepas memegang tiga rekod temasya membabitkan 200 meter rampaian individu, 50 meter gaya bebas serta 50 meter kuak dada S8 (kecacatan fizikal) .
“Saya tidak pernah memikirkan hal insentif dan sebagainya, saya cuma lebih kepada cuba untuk mengejar catatan terbaik peribadi kerana saya mempunyai perancangan jangka panjang.
“Selepas ini saya akan bersaing dengan temasya Sukan Para Asia Hangzhou pula, apa pun saya menganggap ganjaran itu sebagai satu bonus, saya ibaratkan macam durian runtuh, saya rasa sangat bersyukur,” jelas Halim yang membuat penampilan keduanya di temasya tersebut. – KOSMO! ONLINE