fbpx

El Nino sudah bermula, suhu Bumi lebih panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
El Nino akan menyebabkan tahun 2024 menjadi lebih panas berbanding pada 2016 lalu. - Foto dpa

LONDON – Fenomena cuaca semula jadi dikenali sebagai El Nino sudah bermula di Lautan Pasifik dan berpotensi mengakibatkan suhu Bumi yang sedia panas akibat perubahan iklim menjadi semakin panas, lapor portal berita Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.

Saintis-saintis Amerika Syarikat (AS) mengesahkan bahawa fenomena itu telah bermula dan berkata, El Nino mungkin menjadikan 2024 sebagai tahun pa­ling panas di dunia. Mereka bimbang pemanasan yang berlaku akan menyebabkan suhu dunia melepasi had pemanasan 1.5 darjah Celsius.

Negara-negara dunia mencapai persetujuan di bawah Perjanjian Paris pada 2015 untuk memastikan had pemanasan global berada di bawah 2 darjah Celcius atau seboleh-bolehnya 1.5 darjah Celsius dalam tempoh lima tahun berbanding ketika zaman praperindustrian.

Suhu global berlegar sekitar 1.1 darjah Celsius melebihi purata tersebut dalam tempoh dari 1850 hingga 1900.

Fenomena El Nino juga akan menjejaskan cuaca dunia. Ia berpotensi menyebabkan kemarau teruk melanda Australia, manakala lebih banyak hujan menimpa selatan AS, selain menyebabkan musim hujan monsun di India lebih lemah.

Saintis-saintis berkata, El Nino kali ini diramal berterusan sehingga musim bunga tahun depan dengan kesannya akan surut selepas itu.

“Fenomena ini (El Nino) semakin ketara sekarang. Terdapat tanda-tanda El Nino dalam ramalan kami sejak beberapa bulan lalu.

“Namun, ia benar-benar kelihatan seperti akan memuncak pada akhir tahun ini dari segi keamatannya,” kata Ketua Ramalan Kaji Cuaca Jarak Jauh Pejabat Meteorologi Britain, Adam Scaife.

“Rekod baharu untuk suhu global tahun depan mungkin berlaku. Ia bergantung kepada sejauh mana intensiti El Nino pada penghujung tahun ini,” jelasnya

Fenomena alam semula jadi itu adalah fasa turun naik yang paling kuat dalam sistem iklim planet Bumi.

Ayunan Selatan El Nino atau El Nino Southern Oscillation (ENSO) yang berlaku di timur Lautan Pasifik mempu­nyai tiga fasa berbeza iaitu panas, sejuk atau neutral.

Fasa panas berlaku setiap dua hingga tujuh tahun dan me­nyaksikan arus panas muncul ke permukaan di luar pantai Amerika Selatan dan merebak ke seluruh lautan di dunia.

Arus panas ini akan menolak sejumlah besar haba ke dalam atmosfera.

Rekod tahun panas sebelum ini termasuk pada 2016 yang merupakan tahun paling panas di dunia. Kea­daan itu biasanya berlaku setahun selepas peristiwa El Nino yang kuat.

Agensi kaji cuaca di seluruh dunia menggunakan kriteria berbeza untuk memutuskan bila fasa panas ini tiba.

Bagi saintis-saintis AS, defi­nisi mereka memerlukan lautan menjadi 0.5 darjah Celsius lebih panas daripada biasa selama sebulan, atmosfera mesti dilihat bertindak balas terhadap haba dan perlu ada bukti bahawa fenomena itu berterusan.

Semua syarat tersebut dipenuhi pada Mei lalu dan dalam satu kenyataan, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) berkata, feno­mena El Nino sudah berlaku.

“Ini adalah isyarat yang sangat lemah. Namun, kami percaya bahawa kami melihat permulaannya (El Nino) dan ia akan terus meningkat,” kata seorang saintis di NOAA, Michelle L’Heureux.

Saintis-saintis lain percaya El Nino kali ini mempunyai peluang 84 peratus untuk melebihi kekuatan kategori sederhana menjelang akhir tahun ini.

Mereka juga mengatakan bahawa terdapat potensi 25 peratus fenomena kali ini akan melebihi 2 darjah Celsius pada kemuncaknya sekali gus mema­suki fasa ‘Super El Nino’.

Kesan permulaan fenomena tersebut mungkin lewat selama beberapa bulan tetapi akan dirasai di seluruh dunia.

Penyelidik-penyelidik menjangkakan kesan itu termasuk cuaca lebih kering di Australia dan sebahagian Benua Asia dengan potensi hujan monsun di India berkurangan, manakala pada kebiasaannya, El Nino akan me­ngakibatkan kemarau di Benua Afrika menjadi lebih teruk.

Seperti kebiasaannya juga, saintis-saintis berkata, akan ada kos manusia dan ekonomi yang besar disebabkan oleh El Nino.

El Nino yang kuat pada 1997 hingga 1998, menyebabkan dunia rugi lebih AS$5 trilion (RM23.06 trilion) dengan kira-kira 23,000 kematian direkodkan akibat bencana ribut serta banjir.

Terdapat juga kemungkinan besar bahawa versi tahun ini akan menyebabkan 2024 me­ngatasi 2016 sebagai tahun paling panas di dunia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI