SEPANG – Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow menepati ramalan apabila menjuarai Kejohanan Skuasy Individu Asia (AIC) 2023 selepas menewaskan Velavan Senthilkumar pada aksi final di Pusat Skuasy Hong Kong hari ini.
Eain Yow hanya mengambil masa 31 minit untuk mencatat kemenangan 11-4, 11-5, 11-6 ke atas lawan dari India itu sekali gus mempertahankan kejuaraan dimenanginya sewaktu edisi terakhir di Islamabad, Pakistan pada 2021.
Penolong ketua jurulatih skuasy kebangsaan, Andrew Cross gembira melihat pretasi ditampilkan pemain berusia 25 tahun di ranking ke-17 dunia itu sepanjang kejohanan tersebut.
“Eain Yow datang ke sini dengan misi untuk melaksanakan tugasan ini (bergelar juara). Permainannya sangat bagus dan konsisten sepanjang minggu ini,” katanya.
Bagaimanapun, hasrat kem skuasy negara untuk ‘menyapu bersih’ kejohanan itu tidak kesampaian apabila S. Sivasangari tewas kepada pemain Hong Kong, Chan Sin Yuk pada aksi final kategori wanita hari ini.
Sivasangari terpaksa akur dengan kemampuan wakil tuan rumah itu selepas bertarung sengit dalam tempoh 40 minit sebelum tumbang 6-11, 11-9, 12-14, 1-11.
“Saya tetap positif dengan Sivasangari kerana dia juga bermain baik hari ini walaupun terpaksa menghadapi beberapa perlawanan sukar sepanjang minggu ini,” jelas Cross.
Kekalahan Sivasangari menyaksikan Malaysia terus gagal menamatkan penantian lapan tahun sejak kali terakhir legenda negara, Datuk Nicol Ann David menjuarai edisi 2015 yang berlangsung di Kuwait.
Bagaimanapun, pemain dari Kedah itu tetap boleh mendabik dada kerana berupaya mengulangi pencapaian naib juara diraih Rachel Arnold sewaktu edisi 2021 selepas terlibat dalam insiden kemalangan jalan raya pertengahan tahun lalu. – KOSMO! ONLINE