PADANG BESAR – Kisah dua pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Nangka yang mencatatkan keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 mendapat perhatian pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri.
Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi (Latihan dan Kerjaya) Pejabat Mara Perlis, Khartina Musaddiq berkata, kecemerlangan dalam SPM 2022 yang ditunjukkan pelajar golongan B40 itu dan azam untuk mengubah kehidupan menyebabkan agensi turun padang melihat sendiri kehidupan mereka.
“Kami pergi melawat keluarga mereka dan memberikan pendedahan mengenai program pendidikan yang ditawarkan oleh Mara menerusi Program Pembangunan Bakat Muda Mara selepas kedua-duanya melepasi syarat minimum 6A bagi dalam pengajian dalam negara dan 7A bagi luar negara.
“Menerusi program tersebut, yuran pengajian dan elaun sara hidup kedua-dua pelajar tersebut akan ditanggung dan laluan meneruskan pengajian di luar negara terbuka luas,” katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Perun di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kisah kejayaan beberapa pelajar SPM 2022 di seluruh negara dari golongan B40 termasuk Nur Alia Maisarah Abdullah dan rakannya, Khairunnisa Che Roslan yang bertekad mengubah nasib mereka dengan mencatatkan keputusan cemerlang.
Terdahulu Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook menyatakan kesanggupan agensi itu untuk membantu Nur Alia Maisarah yang terus ke kebun getah mamaklumkan keputusan SPM kepada ayahnya.
Dalam pada itu, Nur Alia Maisarah dan rakannya, Khairunnisa berkata, mereka akan mempertimbangkan tawaran tersebut dan melihat kesesuaian program yang ditawarkan agensi itu.
Kedua-dua sahabat baik itu sebelum ini dilaporkan berminat dalam bidang pendidikan dan meletakkan impian untuk menjadi tenaga pengajar. – KOSMO! ONLINE