fbpx

30,000 peniaga dijangka daftar program pendigitalan ReDI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahuddin (dua dari kanan) semasa melancarkan ReDI dan Menu Rahmah di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan hari ini. Foto oleh ROSMIZAN RESDI/ KOSMO!

KOTA BHARU – Kerajaan menyasarkan seramai 30,000 peniaga di seluruh negara akan berdaftar di bawah Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) sehingga hujung tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata, seramai 12,595 peniaga telah berdaftar dengan program tersebut setakat ini.

Menurutnya, program tersebut bertujuan untuk memberi sokongan, sumber daya selain bantuan teknologi kepada peniaga runcit dalam memasuki era digital yang semakin canggih dan kompleks.

“Kita berharap setiap usahawan dapat mengambil peluang untuk terus maju ke hadapan dan tidak ketinggalan dalam bidang perniagaan yang diceburi.

“Ia juga sebagai satu inisiatif membimbing dan membantu usahawan untuk terus berinovatif selain dapat mengakses dengan peluang perniagaan era digital,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran ReDI dan Menu Rahmah di Pasar Besar Siti Khadijah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, program itu melibatkan beberapa cabang dan strategi termasuk pengenalan sistem pembayaran melalui imbas kod QR selain advokasi kepada peniaga.

“Selain itu, kerajaan turut menyediakan latihan untuk mempersiapkan peniaga dengan pengetahuan dan keterampilan yang diperlukan bagi menghadapi persaingan di dunia digital dan pada masa yang sama, seramai 1,372 peniaga di Kelantan sudah mendaftar dalam program ReDI dan 291 daripadanya terdiri daripada peniaga di Pasar Besar Siti Khadijah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI