fbpx

Yew Sin-Ee Yi tewas bermaruah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YEW SIN (kiri) dan Ee Wei boleh berbangga dengan persembahan mereka selepas tewas melawan kepada Sol Gyu-Won Ho di suku akhir Terbuka Singapura sebentar tadi. - BADMINTON PHOTO

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tetap boleh mendabik dada walaupun ‘berputih mata’ untuk melangkah ke separuh akhir Terbuka Singapura.

Pasangan ranking ketujuh dunia itu sudah berjuang bermati-matian mencari mata kemenangan tetapi terpaksa akur nasib seakan-akan tidak menyebelahi mereka apabila tewas kepada Choi Sol Gyu-Kim Won Ho sebentar tadi.

Yew Sin-Ee Yi tewas 22-20, 24-26, 22-24 kepada beregu Korea Selatan di ranking kesembilan dunia tersebut dalam pertarungan yang cukup sengit dan mendebarkan pada aksi suku akhir di Stadium Tertutup Singapura itu.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia hanya mempunyai dua wakil yang akan turun di separuh akhir esok iaitu beregu campuran meningkat naik, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan juara dunia beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Tang Jie-Ee Wei yang berada di ranking ke-21 dunia, mara selepas menundukkan beregu Hong Kong, Lee Chun Hei-Ng Tsz Yau 21-14, 16-21, 21-18 dalam pertarungan yang berlarutan selama 58 minit.

EE WEI (depan) dan Tang Jie berjaya melangkah ke separuh akhir Terbuka Singapura selepas menewaskan pasangan Hong Kong di Stadium Tertutup Singapura sebentar tadi. – BADMINTON PHOTO

Mereka kini hanya selangkah lagi untuk ke final dalam usaha memburu kejuaraan kedua tahun ini selepas menjuarai Orleans Master di Perancis pada April lalu.

Bagaimanapun, ia tidak mudah kerana mereka perlu berhadapan ranking kedua dunia, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun di separuh akhir selepas menewaskan beregu China, Feng Yanzhe-Huang Dongping 23-21, 12-21, 21-17.

Sementara itu, Aaron-Wooi Yik pula akan berhadapan dengan beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang yang menewaskan wakil England, Ben Lane-Sean Vendy, 21-11, 21-11.

Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 mara selepas menewaskan beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 18-21, 21-16, 22-20. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI