MANILA, Filipina – Permainan lato-lato kini popular dalam kalangan kanak-kanak dan menjadi trend di media sosial Filipina sehingga ada kanak-kanak yang cedera, lapor portal berita interaksyon kelmarin.
Lato-lato itu menjadi cabaran menyeronokkan di TikTok, namun apa yang tidak dijangka oleh orang ramai ialah permainan itu boleh mendatangkan kemudaratan.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dari bandar Caloocan mengalami lebam di lengannya akibat kerap bermain lato-lato.
Bola lato-lato itu mengenai lengan budak itu setiap kali dia menghayunkannya ke atas dan ke bawah sehingga menyebabkan kecederaan.
Ibu kanak-kanak lelaki itu, Jessa Mae menghadiahkan permainan itu kepada anaknya. Bagaimanapun, tidak lama kemudian, dia melihat kesan lebam di kedua-dua lengan anaknya dan menyedari bahawa bola itu menyakitkan jika dihayun dalam tempoh yang lama.
Insiden ini dipaparkan dalam episod ‘Kapuso Mo Jessica Soho’ di rangkaian berita GMA pada 4 Jun lalu.
Si ibu kemudiannya membuat keputusan membuang permainan itu.
Laporan mengenai kemunculan semula permainan itu di Indonesia pernah muncul dalam Borneo Bulletin, sebuah penerbitan yang berpangkalan di Brunei.
Nama lato-lato dikatakan berasal daripada perkataan Bugis lato-lato, demikian menurut laporan sama. – Agensi