KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk DAP mengemukakan permohonan maaf kepada UMNO atas tohmahan dan segala polemik yang timbul akibat persengketaan dan permusuhan politik antara dua parti itu selama ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya ketika ini sedia bergerak ke hadapan dan menyahut seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk melupakan kisah silam mereka demi kesejahteraan negara.
“Itu pandangan masing-masing, dalam ucapan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, tentu ada banyak pandangan. Saya setuju dengan ucapan atau intipati ucapan presiden UMNO, lupakan kisah silam, bersama demi negara.
“Kita bergerak ke hadapan daripada persengketaan atau permusuhan politik selama ini, kalau kita terus mengungkit-ungkit kisah-kisah lama, dia akan tidak berkesudahan,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh ketika ucapan dasarnya semalam telah mendesak DAP meminta maaf serta menarik balik segala tohmahan yang dilemparkan terhadap UMNO sebelum ini.
Dr. Akmal turut mempersoalkan tindakan Anthony yang sanggup datang ke Sarawak untuk meminta maaf kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.
Tambah Anthony, jika DAP mahupun parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak menerima hakikat, sudah pasti kabinet ketika ini tidak boleh berfungsi dengan baik sejak enam bulan lalu.
“Kita telah pun membentuk kerajaan lebih dari enam bulan, kita telah pun membincangkan secara tujuan dan komitmen masing-masing
“Bagi saya apa yang dinyatakan oleh Presiden UMNO itu amat memadai dan kita akan terus bergerak ke hadapan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE