SABAK BERNAM – Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) akan menjadi ‘magnet’ dalam menarik pelaburan RM1.9 bilion bagi memajukan Selangor utara khususnya di daerah ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini meliputi enam projek baharu termasuk pembangunan pelabuhan pendaratan ikan di Sungai Lang dan Sekinchan.
Katanya, kesemua projek itu dijangka dapat beroperasi antara tahun 2025 dan 2026.
“Dalam dua bulan lalu, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan projek seperti di Sekinchan yang mana urusan tanah akan diserahkan kepada Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) yang akan mengenal pasti rakan kongsi di lokasi tersebut.
“Kelulusan di pihak kerajaan negeri telah dibuat dan rakan-rakan kongsi telah mula dikenal pasti. Kita berharap dengan enam projek akan bantu urusan ekonomi seterusnya SABDA menjadi ‘magnet’ menarik pelaburan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan pengenalan SABDA, di sini hari ini.
SABDA seluas 1,317 hektar merupakan salah satu daripada tiga zon pembangunan ekonomi baharu yang dikenal pasti di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
Amirudin memberitahu, pemfokusan juga dilakukan dalam ketersambungan pengangkutan seperti perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM).
“Perkhidmatan itu kini telah sampai ke Klang dan bagaimana kita sambung paling tidak sehingga Kuala Selangor seterusnya Sabak Bernam.
“Ini akan memudahkan Selangor Utara dihubungkan dengan perkhidmatan efektif dan cepat seterusnya dapat memastikan keseimbangan penduduk serta tidak tertumpu (berhijrah) ke Petaling Jaya atau Shah Alam,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Sabak Bernam akan terus dimajukan sebagai kawah dan ladang makanan untuk lembah klang.
“Bukan sahaja perikanan tetapi pertanian. Kita dapat banyak tarikan tetapi kalau tidak diikuti dengan teknologi dan pendapatan tinggi mungkin tidak meningkatkan minat untuk anak muda turun menjadi petani (moden).
“Justeru, menerusi Smart Selangor Agro Park itu, kita akan meletakkan syarat tertentu supaya pertanian baik dan pintar dapat dilaksanakan. Kalau berjaya pastinya anak-anak muda akan duduk di sini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE