fbpx

Produk lada Sarawak ubah nasib Awaeang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AWAEANG berjaya mengeluarkan pelbagai produk berasaskan lada Sarawak menerusi jenama Nang Ori.

SATU ketika dahulu, wanita cekal bernama Awaeang Kwasin dan adik-adiknya pernah berjemur di bawah panas matahari bagi membantu ibu bapa mereka di kebun lada.

Berkat daripada kesabaran dan tidak pernah mengeluh membantu kedua-dua orang tuanya, Awaeang kini mampu berbangga apabila bergelar usahawan produk berasaskan lada.

Tidak sekadar memenuhi permintaan domestik di Sarawak, wanita berusia 46 tahun itu turut memiliki dua buah kilang pemprosesan biji lada untuk mengeksport serta menceburi industri hiliran produk berkenaan.

Dia juga boleh berbangga kerana mampu berkongsi rezeki hasil titik peluhnya bersama lebih 2,000 ejen di bawah kendaliannya menerusi platform online.

“Saya namakan syarikat dengan nama Nang Ori yang membawa maksud memang tulen dalam bahasa Melayu Sarawak.

“Ini menunjukkan bahawa lada keluaran syarikat ini sememangnya produk asli dari Sarawak.

“Kalau ditanya dari mana datang minat berniaga dan sebab memilih lada sebagai punca rezeki, ia disebabkan oleh kesabaran saya membantu ibu bapa yang merupakan pekebun.

“Saya dan adik-adik juga sering membantu ibu menjual hasil kebun seperti sayur-sayuran dari rumah ke rumah dan di Pasar Minggu Satok tanpa ada rasa malu,” katanya.

Wanita Bidayuh itu dibesarkan dalam keluarga pekebun lada di Kampung Bratan, Jalan Puncak Borneo yang terletak kira-kira 24 kilometer dari pusat bandar Kuching.

Menyorot kembali perjalanan hidupnya sebelum bergelar usahawan dan pengarah syarikat, usai tamat pengajian di politeknik, Awaeang berazam untuk mengubah nasib keluarganya dengan mengambil keputusan berhijrah ke Semenanjung pada 1999 hingga 2019.

AWAEANG pernah meraih Malaysia Top Achievers 2019 dalam industri rempah.

Ujarnya, biarpun banyak pengalaman pahit yang terpaksa ditempuh, namun ia langsung tidak mematahkan semangat ibu kepada lima cahaya mata itu untuk mengharungi ranjau dunia perniagaan.

“Tahun 2005 adalah waktu yang tidak dapat saya lupakan dalam hidup ini.

“Saya hilang punca pendapatan dan berdepan kegagalan rumah tangga.

“Pada masa sama, saya perlu membesarkan dua anak yang masih kecil masing-masing berusia dua dan lima tahun.

“Bergelar ibu tunggal, saya terpaksa bekerja keras dan berusaha lebih tanpa mengira siang atau malam.

“Hasilnya, saya berjaya membina perniagaan sendiri pada tahun berkenaan,” katanya.

Selama 20 tahun menetap di Semenanjung, rakan-rakannya sering mengirim untuk membeli lada Sarawak setiap kali dia pulang ke negeri kelahirannya.

Dari situ tercetuslah idea untuk memasarkan lada yang dihasilkan dari kebun keluarganya di Semenanjung, tanpa perlu menjual kepada pemborong atau orang tengah di Sarawak lagi.

“Saya mula membungkus lada yang dibawa dari Sarawak di pejabat pengurusan Puchong, Selangor, sejak 2016.

“Saya juga mendaftarkan perniagaan lada ini secara sah di Sarawak dan memohon permit untuk membawanya keluar dari negeri itu.

“Hal ini kerana lada disifatkan sebagai bahan komoditi Sarawak,” katanya.

AWAEANG (kiri) turut membantu meningkatkan ekonomi petani di Sarawak dengan membeli lada daripada mereka pada harga berpatutan.

Pada masa sama, dia tekad untuk membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat dengan membeli lada daripada mereka pada harga berpatutan.

Tidak berhenti di situ, Awaeang turut mengambil inisiatif untuk meningkatkan ilmu perniagaan dan menambah baik produknya.

Justeru, dia menghadiri kelas serta kursus anjuran beberapa kementerian dan agensi berkaitan seperti Majlis Amanah Raya (Mara) dan Institut Keusahawanan Negara (Insken).

“Saya terkejut apabila diberitahu oleh pegawai di Lembaga Lada Malaysia bahawa saya adalah wanita Bidayuh dan Dayak pertama memiliki lesen untuk memborong serta mengeksport lada Sarawak.

“Ini memandangkan industri lada di Sarawak sudah sekian lama dimonopoli oleh golongan lelaki, kaum serta syarikat besar tertentu,” katanya.

Produk lada hitam Nang Ori kini bukan hanya mempunyai pensijilan halal, malah turut memiliki dua kilang pemprosesan iaitu di Kota Samarahan dan Demak Laut.

Menariknya, kedua-dua kilang tersebut berstatus amalan pengilangan baik (GMP) daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Memandangkan lada Sarawak telah diiktiraf sebagai terbaik di dunia, maka ia wajar diinovasi kepada produk hiliran lain untuk dipasarkan.

Ini telah mendorongkan syarikat Nang Ori menghasilkan produk hiliran seperti minyak urut lada hitam, gel lada hitam dan penyembur lada hitam yang dapat membantu pengguna menyelesaikan masalah kesihatan.

Antara pencapaian dan anugerah yang diperolehi Awaeang sepanjang membina empayar Nang Ori termasuklah Malaysia Top Achievers 2019 dalam Industri Excellence in Spice Manufacturing serta Malaysia Good Design Award.

Selain itu, Awaeng telah dilantik menjadi salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Lada Malaysia bermula pada Ogos tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI