LONDON – Seorang wanita berumur 32 tahun dan teman lelakinya yang berusia 23 tahun terkejut kerana ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mendapati mereka sebenarnya adalah ibu saudara serta anak saudara, lapor portal berita Thaiger semalam.
Mereka menerima berita mengenainya ketika wanita tersebut hamil anak mereka tujuh bulan.
Wanita itu berkongsi kisah mereka di laman sosial Reddit. Katanya, dia keluar bersama lelaki berkenaan yang kira-kira sembilan tahun lebih muda, tanpa sebarang firasat tentang hubungan kekeluargaan mereka.
Bagaimanapun, ujian DNA yang dijalankan baru-baru ini bagi membantu lelaki muda tersebut untuk mencari ibu bapa kandungnya menemui kebenaran agak mengejutkan.
Walaupun ujian sama berulang kali dilakukan, keputusannya tetap konsisten.
Wanita itu mendapati teman lelakinya yang lebih muda adalah anak kepada saudara perempuan tirinya yang pernah melarikan diri dari rumah keluarga mereka ketika masih usia remaja.
Saudara perempuan tiri wanita itu dikenali sebagai Vanessa dan dilaporkan meninggalkan mereka pada usia 15 tahun sekali gus terputus hubungan dengan keluarga sejak itu.
Pada masa ini, teman lelakinya tinggal di sebuah hotel tetapi wanita itu menyatakan hasratnya untuk dia pulang ke rumah.
“Selepas kami bercakap, kami berdua merasakan perkara yang sama. Saya tidak tahu hendak buat apa. Saya sangat keliru tetapi kami masih saling mencintai,” katanya – Agensi