fbpx

Memperkasa ekonomi wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NANCY (tengah) menyampaikan bantuan kepada salah seorang peserta Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di Lundu, Sarawak baru-baru ini.

DALAM usaha memperkasa ekonomi kumpulan sasar, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meneruskan inisiatif Wanita Bangkit bagi zon utara Sarawak baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif yang diperkenalkan kementeriannya itu bertujuan mengoptimumkan potensi wanita berdasarkan kemahiran mereka agar tidak terus bergantung pada bantuan kerajaan sepenuhnya.

“Dengan menjalani kursus dan bimbingan menerusi inisiatif ini, ia dapat memberi keyakinan pada peserta dalam menempuhi cabaran dalam perniagaan.

“Pada masa sama, ia dapat menaik taraf sosioekonomi masyarakat di negara ini, khususnya dalam kalangan wanita,” katanya ketika menyempurnakan Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di SALCRA Bajo Training Centre Lundu, Sarawak.

Nancy yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menambah, program itu disertai 234 peserta wanita dari kawasan Tanjong Datu.

Ujarnya, tujuan program itu adalah untuk membantu golongan memerlukan terutamanya mereka yang hilang pendapatan, pencari nafkah utama atau ibu tunggal.

Jelasnya lagi, ia dilaksanakan menggunakan pendekatan ‘psychoeducation’ melalui Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS).

Nancy memaklumkan, langkah itu bagi meningkatkan kesedaran serta menggalakkan penerokaan ilmu baharu melalui sokongan emosi agar lebih bersedia untuk memulakan kehidupan baharu selepas perceraian, penderaan, peningkatan kos sara hidup atau hilang punca pendapatan.

“Melalui program ini, seramai 15,620 wanita telah mendapat manfaat bantuan MyKasih Kapital.

“Dalam jelajah lawatan kerja di Sarawak sebelum ini, seramai 600 peserta telah menghadiri kursus Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM, MyKasih Kapital.

“Para peserta ini terdiri daripada mereka yang menetap di Tanjung Manis, Sibu, Bekenu, Bandar Miri dan Pantai Damai.

“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat serta orang perseorangan amat dialu-alukan untuk melaksanakan program-program bersesuaian demi manfaat kumpulan sasar khususnya wanita di negara ini,” ujarnya.

Beliau juga berharap dengan adanya kerjasama strategik ini, golongan yang terjejas khususnya wanita dapat dibantu.

Tambahnya, usaha itu secara tidak langsung dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN