PETALING JAYA – Perbuatan kentut adalah satu tanda bahawa badan seseorang itu telah menurunkan jumlah serat yang sihat termasuklah memiliki bakteria baik dalam usus untuk berfungsi dengan betul.
Menerusi perkongsian Doktorherbalis di Instagram baru-baru ini, antara kumpulan manusia yang sering kentut adalah atlet sukan dan aktif bekerja.
“Bagi orang yang pencernaannya lancar dan usus yang sihat, akan lebih kerap kentut.
“Situasi ini akan lebih kerap berlaku dalam kalangan mereka yang aktif bersukan atau atlet serta yang kuat bekerja kerana kekerapan melakukan pergerakan badan dan otot.
“Jadi kalau anda kentut, jangan malu, itu tandanya badan anda sihat,” katanya.
Tambah perkongsian itu, ada dua jenis kentut iaitu berbau busuk dan normal.
“Bau yang datang bersama-sama dengan kentut biasanya dari hidrogen sulfida, yang dipecahkan dari pelbagai makanan yang telah dimasukkan ke dalam badan.
“Apabila dicerna, ia akan mewujudkan bau yang akan menemani gas yang anda lepaskan tu. Kalau yang tak ada bau itu adalah normal sahaja, bukan tanda badan anda tidak sihat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE