LUMUT – Sebuah kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang dibaiki di sebuah limbungan di kawasan perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan, terbakar, pagi tadi.
Kebakaran Kapal Diraja (KD) Laksamana Muhammad Amin itu didapati berlaku di bahagian bilik penyimpanan peluru namun katanya, tiada peluru yang disimpan dalam bilik tersebut ketika kejadian berlaku.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.03 pagi.
“Berikutan itu, sepasukan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan diketuai Ketuanya, Mohd Azizi Zakaria, dibantu BBP Seri Manjung, bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kebakaran bilik itu dianggarkan kira-kira 10 peratus dan tindakan pemadaman telah dilakukan oleh Pasukan Tindakbalas Kecemasan (ERT) Pelabuhan Lumut.
Jelasnya, pasukan bomba kemudian melakukan kerja-kerja pemadaman susulan dan api berjaya dikawal pada pukul 10.25 pagi manakala kebakaran dipadam sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari. – KOSMO! ONLINE