PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan beberapa daerah di hampir seluruh negara pada petang ini.
MetMalaysia dalam satu hantaran berkata, amaran tersebut dikeluarkan susulan hujan lebat berserta angin kencang yang diramalkan berlaku sehingga pukul 6 petang ini.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di seluruh negeri Perlis, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Melaka serta Johor.
“Keadaan sama juga dijangka berlaku di daerah Langkawi, Kedah. Sementara itu di Perak, amaran ribut petir dikeluarkan bagi daerah Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, amaran sama juga dikeluarkan bagi beberapa daerah di Pahang iaitu di Tanah Tinggi Cameron, Bentong, Maran, Bera dan Rompin.
“Sementara itu, cuaca buruk juga dijangka melanda Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang, Selangor.
“Hujan lebat juga diramalkan berlaku di Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin, Negeri Sembilan,” ujarnya.
Di Sarawak pula, cuaca sama dijangka berlaku di Sarikei (Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Bintulu dan Limbang.
“Keadaan sama turut diramalkan melanda beberapa kawasan di Sabah iaitu di Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Tawau (Kunak dan Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat (Kota Marudu).
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE