fbpx

Disahkan waras, kebenaran akan terbukti – isteri Hafidz Roshdi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURUL SHUHADA

PETALING JAYA – Isteri Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri bersyukur kebenaran terbukti apabila laporan psikiatri mengesahkan pelakon itu waras seterusnya layak dibicarakan di mahkamah atas perbuatan mencederakannya.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, laporan perubatan tersebut juga secara tidak langsung menangkis tanggapan segelintir individu yang selama ini menggunakan alasan Hafidz sakit mental hingga berkasar tanpa disengajakan.

“Alhamdulillah, Allah sudah susun semuanya dengan baik. Saya yakin dan percaya kebenaran akan terjawab suatu hari nanti.

“Allah maha mengetahui semua yang berlaku dan saya sudah menyerahkan pada Allah segala-galanya.

“Dia sudah janji pada saya, sepedih-pedih pembalasan adalah daripada Allah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online bagi mengulas laporan perubatan suaminya yang dibentangkan di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, di sini, pagi tadi.

Pada masa sama, Nurul Shuhada, 29, menaruh harapan supaya kes membabitkannya dan Hafidz mendapat keadilan sewajarnya.

“Semoga perkara ini diadili dengan sebaik mungkin. Allah Maha Mengetahui dan saya tahu Allah akan mengadili semuanya dengan sebaik-baiknya.

“Dan Allah juga adalah saksi sebenar-benarnya terhadap apa yang berlaku kepada saya ketika kejadian itu,” katanya lagi.

Terdahulu pagi tadi, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru, di sini hari ini diberitahu, Hafidz disahkan waras dan pertuduhan yang didakwa ke atasnya layak dibicarakan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri pada sebutan semula dan laporan psikiatri hari ini di hadapan Hakim Hakim Mohd. Kafli Che Ali yang bertindak sebagai Majistret.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menetapkan 17 Julai ini bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini pada 29 Mac lalu, Hafidz telah ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan psikiatri sebagaimana yang diperintahkan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Pada 13 Mac lalu, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk pipi kiri isterinya sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI