PUTRAJAYA – Jumlah taman asuhan kanak-kanak (taska) yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negara ini dilaporkan membimbangkan apabila sebanyak 1,080 pusat itu dikesan tidak berbuat demikian setakat Disember 2022.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebanyak 1,080 taska tidak berdaftar dikesan setakat penghujung Disember tahun lalu, manakala taska berdaftar dengan JKM sehingga April berjumlah 3,005.
“Itu (jumlah tidak berdaftar) yang dalam pengetahun kementerian dan jumlahnya memang membimbangkan kerana apabila berlaku sesuatu sukar untuk tindakan diambil.
“Untuk kelulusan pendaftaran taska cuma perlukan 30 hari tetapi sebelum ia didaftarkan, pengusaha perlu menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Syarat inilah yang menjadi cabaran kepada pengusaha taska untuk mendaftar,” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan 2023, di sini hari ini.
Pada masa sama, Nancy turut menyarankan kepada operator atau pengusaha taska yang belum berdaftar supaya mendaftarkan premis mereka bagi memudahkan JKM menjalankan pemantauan.
Ini kerana katanya, taska berdaftar akan mempunyai ilmu pendidikan awal kanak-kanak dan disiplin pengasuhan serta pengetahuan mengenai perundangan, dasar, maklumat dan amalan terbaik.
“Saya sering mendapat rungutan daripada pengusaha yang mahu beroperasi secara sah dan berdaftar tetapi menghadapi karenah birokrasi membabitkan isu teknikal di pihak PBT.
“Kita tahu ini adalah kuasa PBT tetapi saya rasa ini boleh ditambah baik sebagai contoh sekiranya semua PBT mempunyai budi bicara dan peraturan yang selaras,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE