PUTRAJAYA – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir kesal dan mengecam tindakan pelawak Jocelyn Chia memperlekeh Malaysia serta mempersenda tragedi pernah melanda negara.
Zambry dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan itu langsung tidak menunjukkan rasa sensitiviti dan empati terhadap rakyat di negara ini dan keluarga mangsa.
“Video ini juga jelas menggambarkan perilaku yang sangat bertentangan dengan nilai-nilai ketimuran negara Asia yang sememangnya terkenal dengan adab dan tatasusila,” katanya di sini.
Ujarnya, beliau percaya ini bukan pendirian atau tindakan yang diterima oleh mana-mana negara apatah lagi menggambarkan pendirian rasmi mana-mana kerajaan.
“Saya berharap sebarang bentuk tindakan atau cubaan seperti ini dapat dihentikan bagi memastikan rasa hormat pada mana-mana negara terus terpelihara,” jelasnya.
Terdahulu, Jocelyn yang dipercayai lahir di Singapura bertindak keterlaluan apabila memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komedi berdiri ‘Singapore vs Malaysia’ yang dipercayai diadakan di Manhattan, New York, baru-baru ini.
Selain membuat kenyataan menghina Malaysia, wanita itu turut menyentuh mengenai kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan lucu kerana tidak pernah mendarat. – KOSMO! ONLINE