MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka berjaya merampas minyak diesel bersubsidi sebanyak 57,000 liter yang diseludup sekumpulan lelaki menggunakan lori berlogo di sekitar negeri ini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 5.30 petang itu, dua lelaki tempatan dan seorang warga Bangladesh berusia antara 30 hingga 50 tahun turut diberkas di Kawasan Perindustrian Krubong, di sini.
Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, kumpulan itu berjaya dikesan hasil maklumat daripada orang awam dan risikan yang dilakukan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh kurang sebulan di bawah Op Tiris.
Katanya, hasil soal siasat suspek mengakui telah membeli minyak diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak di seluruh negeri ini menerusi pembayaran secara e-dagang dan menggunakan lori (bonded) berlogo bagi mengaburi kegiatan.
“Kita dapati mereka yang terlibat dalam penyelewengan diesel bersubsidi ini telah menukar modus operandi mereka dengan menggunakan lori berlogo dan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang telah diubah suai untuk membeli minyak.
“Pembayaran juga tidak lagi dibuat secara tunai, sebalik online sahaja dan mereka yang terlibat mendakwa tidak mengenali dalang kerana semua komunikasi hanya melalui pesanan di aplikasi WhatsApp,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan di Krubong, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi serbuan membawa kepada penemuan beberapa tangki simpanan diesel yang dianggarkan berkapsiti 26,000 liter, sebuah SUV, alat pam dan 57,000 liter cecair disyaki diesel.
“Suspek telah menggunakan premis ini sebagai hub transit untuk memindahkan diesel yang telah dibeli ke dalam lori tangki sebelum ia dijual di pasaran gelap dengan harga lebih rendah.
“Kesemua barang tersebut telah dirampas dengan nilai anggaran RM267,025,” katanya.
Katanya, ketiga-tiga suspek kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE