KELMARIN tular satu klip video dimuat naik seorang wanita yang menjadi mangsa buli jalanan di jalan Tapah-Cameron, Pahang sehingga kepalanya ditunjal pemandu lelaki terlibat.
Video berdurasi hampir satu minit itu menimbulkan pelbagai reaksi. Ada yang ‘naik hantu’ melihat kaum wanita diperlakukan sedemikian, ada yang memahami kemarahan lelaki tersebut.
Mangsa yang dikenali sebagai Mieya, 25, mendakwa dia trauma selepas dilontarkan kata-kata kesat dan ditunjal oleh lelaki itu.
Kes ini membuka ruang perdebatan sesama netizen. Persoalannya meskipun cara pemanduan seeorang pemandu itu didakwa mengundang bahaya, adakah wajar tindakan ‘membalas’ dengan sentuhan dilakukan?
Paling seram, ada kejadian pukul-memukul di tepi jalan raya yang akhirnya mendatangkan kecederaan, sama ada secara fizikal mahupun mental.
Kesannya, bukan cuma si pemandu ‘gila’ sahaja yang akan dikenakan tindakan oleh pihak polis tetapi yang meluahkan rasa tidak puas hati turut boleh dipenjarakan, jika disabitkan kesalahan kerana memandu secara melulu atau mendatangkan kecederaan.
Aspek pemanduan berhemah sering kali dikaitkan dengan kesabaran.
Malah, penulis pernah mendengar ungkapan, ‘kalau mahu nilai kesabaran seseorang itu, tengoklah cara pemanduannya’.
Ini seolah-olah setiap kali mula memandu, seseorang itu sedang menjalani ujian kesihatan mental dan emosinya.
Pegawai Psikologi Kanan Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, kejadian buli jalanan itu berlaku disebabkan masalah psikologi individu yang tidak stabil dan tekanan yang telah dipendam dalam suatu tempoh masa panjang.
“Kes-kes buli jalanan ini berlaku apabila psikologi seseorang itu berada dalam keadaan tidak stabil atau di luar kawalan melibatkan pemikiran serta tingkah laku.
“Mereka akan memberi reaksi mengikut perasaan ketika itu, yang melampaui batas atau di luar batasan normal.
“Tekanan ini boleh disebabkan banyak faktor termasuklah masalah peribadi, kerja, kewangan dan sosial. Ia telah memberikan tekanan dalam suatu tempoh yang lama setelah dipendam. Jadi apabila ada
benda yang mencetuskan keadaan marah, dia akan terus bertindak di luar kawalan,” katanya.
Tambahnya, kebanyakan mereka yang mengalami masalah psikologi itu tidak mampu berfikir secara matang dan rasional berkenaan keselamatan diri serta orang di sekelilingnya.
“Kalau panas baran, itu disebabkan oleh beberapa faktor seperti genetik atau keturunan, di mana dia telah terbiasa dengan tingkah laku itu sejak kecil atau juga kecacatan psikologi seperti pernah menjadi mangsa dera.
“Lebih teruk adalah faktor psikososial seperti trauma, pernah kehilangan sama ada perceraian, perpisahan dan apa-apa yang membuatkan psikososial terbatas,” ujarnya.
Mengulas lanjut Siti Fatimah berkata, cara terbaik menangani golongan itu adalah dengan tidak melawan kembali atau bergaduh mulut, sebaliknya mendapatkan bantuan luar untuk mengurangkan risiko keselamatan diri.
“Dapatkan bantuan, kena lindungi diri kita sendiri, apatah lagi dalam situasi one-to-one sahaja, kalau individu itu mengetuk pintu atau tingkap kereta, tidak perlu dibuka.
“Segera telefon orang lain untuk datang ke lokasi sekiranya perlu,” katanya.