GEORGE TOWN – Minat mendalam dalam mata pelajaran sains menjadi kunci kejayaan buat seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul di sini memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.
Akui Muhammad Aisy Mukhris Abdussamad, 18, dia memilih aliran sains tulen atas dasar minat kerana bercita-cita mahu menjadi pakar bedah suatu hari nanti.
Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, dia berpuas hati dengan keputusan SPM yang diperolehnya, berkat usaha gigih yang dilakukan selama setahun.
“Memang sangat gembira dengan keputusan ini kerana saya betul-betul ‘pulun’ sejak awal tahun berada di tingkatan lima. Saya menghabiskan masa mengulangkaji pelajaran selama dua jam sebaik pulang dari sekolah dan rehat pada waktu petang.
“Setiap hari, saya akan mengulangkaji dua mata pelajaran manakala waktu malam adalah masa untuk meyiapkan kerja sekolah yang diberi guru. Setahun saya berjuang seorang diri termasuk belajar bersama rakan semata-mata mahukan kejayaan ini,” katanya kepada Kosmo! di sini.
Beritahunya lagi, subjek sains sememangnya tidak boleh dipaksa dan pelajar sendiri perlu menanam minat seawal di tingkatan empat.
“Minat datang dengan sendiri. Jika dipaksa, agak sukar untuk pelajar memahami dan menerima setiap subjek yang dipelajari.
“Meskipun perjalanan saya masih jauh namun saya berterima kasih kepada umi (emak) dan abah kerana banyak berkorban masa dan wang untuk saya belajar.
“Hari ini, saya hadiahkan umi dan abah yang kini sedang menunaikan ibadah haji di Mekah dengan sebuah kejayaan. Sedih juga sebab tiada pelukkan kejayaan daripada mereka berbanding rakan lain yang ditemani ibu bapa di sekolah tadi,” ujarnya dalam nada sebak. -KOSMO! ONLINE