SUNGAI PETANI – Amalan wirid yaumi dan sering berdamping dengan guru menjadi rahsia pelajar Sekolah Maktab Mahmud Pendang, Muhammad Syamil Kamarul Zaman meraih 11A+, 1A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.
Muhammad Syamil berada pada kedudukan teratas daripada senarai 15 calon cemerlang SPM di negeri ini yang memperoleh gred A+ dan A bagi semua mata pelajaran diduduki mereka.
Menurutnya, dia mengamalkan wirid yaumi setiap hari selepas solat subuh dan maghrib setiap hari.
“Saya juga berdamping dengan guru-guru dan ahli ilmu yang sangat hebat, mereka merupakan insan yang sangat dekat dengan Allah SWT, jadi saya rasa itu juga menjadi rahsia kejayaan saya pada hari ini,” katanya.
Dia ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM peringkat negeri Kedah di Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa di sini hari ini.
Kata Muhammad Syamil, dia kini sedang menyambung pelajaran di peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Maktab Mahmud Alor Setar dan bercadang menyambung pengajian ke Universiti Malaya (UM) dalam bidang Usuluddin (Tafsir).
Selain Muhammad Syamil, pasangan kembar dari SMK Keat Hwa 1, Alor Setar, Kuan Zhi Jue dan Kuan Zhi Ti juga antara yang tersenarai dalam 15 calon cemerlang SPM.
Zhi Jue memperoleh keputusan 11A+, manakala adiknya pula mendapat kelutusan 10A+ 1A. – KOSMO! ONLINE