fbpx

SPM 2022: 389 calon SPM Pahang dapat semua A

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSLI (kanan) dalam sidang akhbar pengumuman keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, di Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Seramai 15,553 daripada 16,704 calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di negeri ini layak mendapat sijil dengan 389 calon memperoleh keputusan semua A.

Daripada kesemua calon itu juga lapan calon di negeri ini memperoleh keputusan keseluruhan A+.

Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Rosli Abdul Rahman berkata, keputusan SPM bagi negeri ini menunjukkan peningkatan dan merupakan keputusan yang terbaik dalam tempoh lima tahun.

Katanya, bagi prestasi negeri, Gred Purata Negeri (GPN) menunjukkan peningkatan sebanyak 4.57 iaitu 0.17 lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu 4.74.

“Pencapaian GPN bagi negeri ini merupakan pencapaian terbaik mengikut trend daripada 2018, keputusan terbaik dalam tempoh lima tahun.

“Bagi Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) pula, 46 mata pelajaran daripada 66 mata pelajaran menunjukkan peningkatan, 19 mata pelajaran menunjukkan penurunan dan satu mata pelajaran iaitu pendidikan muzik berada pada tahap sama,”katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, jumlah calon yang memperoleh keseluruhan A dalam mata pelajaran yang diambil juga menunjukkan peningkatan iaitu seramai 397 orang berbanding 2021 iaitu seramai 300 orang.

Daripada lapan calon yang memperoleh keseluruhan A+ itu, seorang calon memperoleh 11A+, tiga calon memperoleh 10A+ dan lima calon memperoleh 9A+.

Rosli juga memberitahu, daripada 112 calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK), seramai 15 calon memperoleh sekurang-kurang 5A dengan dua calon memperoleh 9A dan seorang calon memperoleh 8A1B.

Tambahnya bagi calon dalam kalangan Orang Asli pula, daripada 729 calon yang menduduki SPM tahun lalu, 35 calon memperoleh sekurang-kurang 5A dengan seorang daripada calon memperoleh 10A dan seorang calon memperoleh 9A.

Dalam pada itu katanya, jurang prestasi antara sekolah bandar dan luar bandar juga menunjukkan pengecilan 0.06 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Bagi SPM 2022, 10 buah sekolah mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik iaitu kurang dari 2.06 dengan tujuh darinya merupakan sekolah menengah harian.

“Berbanding tahun lalu hanya tiga buah sekolah menengah harian mencapai GPS terbabit dan tujuh lagi merupakan sekolah berasrama penuh,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI