fbpx

Russia-Ukraine saling menuduh bencana empangan pecah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Imej dikeluarkan Planet Labs PBC menunjukkan air deras mengalir keluar menerusi empangan Kakhovka yang musnah di selatan Ukraine, kelmarin. - AFP

KIEV – Amerika Syarikat (AS) menuduh Russia sebagai dalang bagi insiden letupan sebuah empangan utama dan loji hidroelektrik di selatan Ukraine yang membawa kepada malapetaka banjir, demikian menurut pegawai perisikan Washington seperti dilaporkan portal berita MailOnline.

Menurut sumber tersebut, Washington mempunyai maklumat daripada tentera yang membuktikan Moscow bertanggungjawab terhadap malapetaka itu. Namun, White House berkata, ia tidak boleh menyatakan secara muktamad punca yang menyebabkan kemusnahan di kawasan tersebut.

“Pegawai-pegawai AS sedang melakukan yang terbaik untuk menilai laporan bahawa tentera Russia yang menduduki empangan tersebut di Sungai Dnipro sejak tahun lepas telah menyebabkan letupan itu,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara John Kirby.

Kirby berkata, adalah jelas bahawa kemusnahan empangan itu akan menyebabkan ramai orang  mati dan berpuluh-puluh ribu rakyat Ukraine terpaksa dipindahkan.

Ketika ditanya sama ada kemusnahan empangan itu akan menjadi jenayah perang, beliau berkata, undang-undang antarabangsa melarang infrastruktur awam dimusnahkan.

Kemusnahan empangan di Sungai Dnipro yang memisahkan kedudukan tentera Kremlin dan Kiev itu menyebabkan 17,000 orang dipindahkan selain menenggelamkan 24 perkampungan, demikian menurut pihak berkuasa Ukraine.

“Lebih 40,000 orang berdepan ditenggelami banjir,” kata Pendakwa Raya Jeneral Andriy Kostin sambil menambah, 25,000 penduduk lagi perlu dipindahkan di bahagian yang ditakluki Russia di Dnipro.

Penasihat Presiden Ukraine, Oleksiy Kuleba berkata, proses memindahkan penduduk menggunakan bas dan tren diteruskan semalam dan mungkin selama beberapa hari.

Beberapa rakaman video menunjukkan rumah-rumah hanyut dan seluruh bandar berdekatan empangan tersebut ditenggelami banjir.

Datuk bandar tempatan yang dilantik Russia memberi amaran bahawa paras air akan terus meningkat selama 72 jam lagi selain menjangkakan beberapa tempat akan dinaiki air banjir setinggi 12.19 meter.

Ukraine menuduh Russia meletupkan empangan Kakhovka manakala Moscow berkata, ia adalah angkara Kiew yang telah mensabotaj empangan itu.

Sementara itu, dalam taklimat akhbar di White House, Kirby memberitahu pemberita bahawa kerosakan itu boleh memberi impak buruk kepada keselamatan tenaga Ukraine kerana empangan tersebut terletak berhampiran loji kuasa nuklear terbesar Eropah.

Pihak berkuasa Ukraine sebelum ini memberi amaran bahawa kemusnahan empangan itu boleh menyebabkan 18 juta meter padu air membanjiri bandar Kherson dan berpuluh-puluh bandar serta penempatan lain yang menempatkan ratusan ribu orang.

“Semuanya akan mati di sini. Semua makhluk yang hidup dan manusia akan ditenggelami air. Rakyat akan menderita. Sudah tiada air yang keluar dari paip,” kata seorang penduduk Kherson, Serhiy. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI