AMPANG JAYA – Keghairahan seorang penghantar makanan yang dirakam menunggang motosikal dengan melakukan aksi berbahaya di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Pandan Indah, disini, ditahan polis, hari ini.
Penahanan lelaki berusia 45 tahun itu dibuat sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah di rumahnya di Kampung Cheras Baru, pada pukul 10.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya sebelum ini mengesan video yang dimuat naik pemilik akaun Twitter yang memaparkan aksi penunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda.
Katanya, lelaki berkenaan duduk di atas kotak barang yang diletakkan di tempat duduk pembonceng dengan kedua tangan tidak memegang pemegang motosikal, dalam kelajuan yang boleh mendatangkan bahaya kepada dirinya dan pengguna jalan raya lain.
“Hasil siasatan, polis mengenal pasti penunggang terbabit dan berjaya menahannya selain turut merampas motosikal digunakan.
“Semakan mendapati suspek mempunyai dua waran tangkap atas kesalahan trafik. Bagaimanapun, didapati tidak berada dibawah sebarang pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Farouk, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Beliau turut memohon kerjasama pemilik akaun Twitter @jnmalaysia dan perakam video itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Ampang Jaya, Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-13078348 atau tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Terdahulu, rakaman video berdurasi 12 saat tular yang memaparkan aksi penunggang motosikal terbabit tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE.