PUTRAJAYA – Mana-mana produk yang mempunyai logo halal disijilkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh menembusi pasaran Indonesia tanpa halangan birokrasi.
Berita gembira itu hasil pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) antara agensi itu dengan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dari negara berkenaan.
Menurut kenyataan akhbar Jakim memaklumkan, pengiktirafan bersama pensijilan halal produk tempatan bagi kedua-dua negara itu dimeterai secara rasmi di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.
“Melalui MoC itu, Jakim disenaraikan sebagai badan pensijilan halal diiktiraf di Indonesia serta BPJPH disenaraikan sebagai badan pensijilan halal diiktiraf di Malaysia,” katanya di sini, hari ini.
Kerajaan Malaysia diwakili sendiri oleh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd. Yusof manakala Indonesia diwakili Pengerusi BPJPH, Muhammad Aqil Irham Mohamad.
Jelasnya, dengan pengiktirafan itu produk dikilangkan di Indonesia mempunyai logo BPJHP kini juga boleh memasuki Malaysia tanpa halangan.
Melalui MoC berkenaan ujar Jakim, membolehkan dua negara berjiran itu berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam pengurusan pensijilan halal demi kepentingan umat Islam bersama.
Kerjasama itu turut meliputi aspek latihan, penyelidikan dan analisis produk malah ia menjadi perintis kerjasama strategik dua negara dalam bidang halal pada masa akan datang.
Jakim menambah, pemeteraian MoC itu turut memudahkan pengeksportan produk negara ini ke republik berkenaan dan menyumbang peningkatan perdagangan dua hala. – KOSMO! ONLINE