fbpx

Kembara di tiga negara Balkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENULIS merakam gambar dengan berlatarbelakangkan pemandangan indah Kotor, Montenegro.

PENGEMBARAAN penulis bersama rakan-rakan di tiga negara Balkan bermula sebaik mendarat di Lapangan Terbang Zagreb, Croatia.

Destinasi pertama kami adalah di Taman Negara Tasik Plitvice iaitu salah satu Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Setiba di Tasik Plitvice, penulis tergamam melihat pemandangan air terjun dan daun berwarna-warni seolah-olah berada di alam lain.

Walaupun suhu antara 8 hingga 12 darjah Celsius sehingga membuatkan air terjun dikaburi kabus, namun pendakian ‘manja’ kami di kawasan tersebut tetap mempersonakan.

Usai pendakian di Tasik Plitvice, kami bermalam di Split yang terkenal dengan monumen tinggalan Rom.

Keesokan harinya, kami meneruskan perjalanan dari Split ke Dubrovnik yang turut dikenali sebagai Pearl of the Adriatic.

Kota Lama Dubrovnik atau lebih dikenali sebagai Dubrovnik City Wall ini lebih popular setelah menjadi lokasi penggambaran siri Game of Thrones.

Pembinaan dinding di sepanjang Kota Lama Dubrovnik sangat ikonik kerana struktur binaannya membuatkan penulis seakan-akan berada pada abad ke-17 Eropah.

Destinasi kami berikutnya adalah di sebuah kota yang bernama Kotor di Montenegro.

Kota Lama Kotor yang dibina sepanjang 4 kilometer (km) di bawah Gunung Lovćen memaparkan seni bina zaman pertengahan abad ke-14.

Kucing jalanan yang gebu dan comel merupakan salah satu tarikan di dalam Kota Lama Kotor selain seni bina Gereja St. Tryphon.

Kami berpeluang mendaki dua pertiga Gunung Lovćen sebelum mengambil masa hanya dua jam merentasi bandar Perast yang masyhur dengan Gereja Saint George dan Our Lady of The Rock.

Keesokan hari, kami memasuki Bosnia-Herzegovina yang memiliki jurang sosioekonomi ketara berbanding dua negara jirannya.

ANTARA pemandangan memukau di Mlincici Jajce, Bosnia-Herzegovina.

Permukaan sempadan jalan raya mereka masih berbatu, dinding rumah penuh dengan bekas-bekas peluru peperangan dan fasiliti awam yang mundur.

Destinasi pertama kami adalah Masjid Blagaj atau Dervish House yang dibina oleh seorang sufi pada 1520.

Lokasinya yang terletak di sisi gua dilengkapi dengan aliran air sungai jernih kebiruan dari Bukit Blagaj sungguh memukau.

Memandangkan destinasi terakhir kami adalah negara majoriti Islam, penulis teruja untuk terus singgah ke salah satu restoran halal dan cantik di Mostar.

Bandar Mostar sangat mempersonakan kerana campuran seni bina Ottoman-Austro-Hungarian dan Slavic.

Lawatan penulis ke Museum of War and Genocide Victims 1992-1995 menimbulkan perasaan sedih beserta kecewa di hati penulis.

Kami turut berkesempatan bergambar di Jambatan Lama Mostar yang menjadi simbol perdamaian.

Bandar terakhir destinasi kami adalah ibu kota Sarajevo.

Bandar ini dikenali sebagai Jerusalem of the Balkans yang menempatkan masjid, gereja dan synagogue (rumah ibadat Yahudi) dalam satu kejiranan.

Di antara struktur bangunan menjadi tarikan adalah Sebilj Fountain, The Latin Bridge, Gazi Husrev-beg Mosque dan tanah perkuburan mangsa peperangan, Alifakovac Cemetery.

Trio negara Balkan ini meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan oleh penulis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI