LONDON – Pemain tengah Chelsea, N’Golo Kante semakin hampir untuk menandatangani kontrak bersama pasukan dari Arab Saudi, Al Ittihad.
Delegasi dari kelab berkenaan dilaporkan sudah berada di London sejak Selasa lalu untuk mengadakan rundingan mengenai kontrak tersebut yang menyaksikan pemain berkenaan bakal menerima pendapatan sekitar £86 juta (RM491.85 juta) setahun.
Pemain berusia 32 tahun berkenaan bakal menjadi ejen bebas bermula hujung bulan ini selepas kontraknya di Stamford Bridge berakhir dan telah ditawarkan kontrak oleh Al Ittihad sehingga 2025.
Kante dan Chelsea sebelum ini telah mengadakan rundingan untuk perjanjian baharu sejak beberapa bulan lalu, namun perbincangan tersebut menemui jalan buntu selain The Blues dilaporkan mahu mendapatkan Moises Caicedo dari Brighton untuk mengisi kekosongan berkenaan.
Selain Kante, Al Ittihad dilaporkan sudah berjaya mendapatkan khidmat penyerang Real Madrid, Karim Benzema selain turut memburu beberapa lagi pemain berprofil tinggi seperti, Lionel Messi, Serge Busquets, Paul Pogba, Pierre Emerick Aubameyang dan Hugo Lloris.
Laporan menyebut, rundingan antara Al Ittihad dan ejen Kante sudah bermula sejak beberapa hari lalu dan kata sepakat mengenai kontrak berkenaan mungkin akan dimeterai dalam tempoh terdekat ini. – AGENSI