fbpx

Dua beranak didakwa jadi ceti haram ‘cekik’ saudara sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH Devani dan Tachini didakwa secara berasingan di Mahkamah Alor Gajah, di sini, hari ini.- Foto oleh SYAFEEQ AHMAD

ALOR GAJAH – Seorang ibu tunggal dan anak perempuannya didakwa di Mahkamah Alor Gajah, di sini, hari ini atas pertuduhan menjadi ceti haram dengan kadar faedah lebih 100 peratus kepada dua peminjam, tiga bulan lalu.

Tertuduh, P. Devani, 53, dan M. Tachini, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan secara berasingan di hadapan Hakim Nariman Badruddin dan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.

Mengikut pertuduhan di hadapan Nariman, Devani didakwa telah memberi pinjaman kepada A. Francis Xavier, 41, dan Ramia, 26, sebanyak RM4,000 dan dikenakan kadar faedah sebanyak RM8,250 tanpa suatu lesen yang sah di bawah Seksyen 5(1) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Perbuatan itu dilakukannya di Taman Pengkalan Indah, Alor Gajah antara Julai 2022 sehingga Mac 2023.

Sabit kesalahan, tertuduh yang bekerja sebagai tukang cuci boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau kedua-duanya mengikut Seksyen 5(2) akta sama.

Dalam masa sama, Tachini didakwa di hadapan Nurul Bahiyah atas pertuduhan membantu ibunya itu menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen dengan membenarkan nombor akaun Maybank miliknya digunakan.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29AA akta sama yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Difahamkan, peminjam Xavier merupakan anak saudara tertuduh dan membuat peminjam tersebut bagi mengadakan majlis sembahyang mendiang bapanya pada Julai 2022.

Mangsa menerima wang pinjaman sebanyak RM3,400 dan telah membayar semula pinjaman secara ansuran sebanyak RM8,250 sehingga Februari lalu, namun diminta untuk melunaskan baki bayaran sebanyak RM3,700 oleh tertuduh.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari dan Pegawai Pendakwa, Inspektor V. Somsundram, manakala dua beranak itu tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan Devani dan Tachini diikat jamin masing-masing sebanyak RM8,000 serta RM5,000, selain dilarang menganggu peminjam dan saksi pendakwaan. Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 10 Julai ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI