KUALA LUMPUR – Usul untuk meminda Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388) bagi memuktamadkan penggunaan kalimah Allah ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Usul persendirian itu dikemukakan Zulkifli Ismail (Jasin) pada 25 Mei lalu, antara lain mencadangkan supaya kalimah Allah dimasukkan dalam akta tersebut dan tafsirannya bersandarkan Surah Al-Ikhlas.
Katanya, berdasarkan surah itu, kalimah Allah perlu ditafsirkan sebagai Tuhan Yang Esa, tempat meminta segala sesuatu, tidak mempunyai anak dan tidak pula diperanakkan, serta tidak ada sesuatu yang setara dengan-Nya.
“Sebarang makna dan terjemahan tafsiran yang selain daripada ini adalah batal dan tidak sah,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen, hari ini.
Zulkifli berkata, RUU 388 itu memperuntukkan menteri kuasa untuk mengeluarkan perintah larangan kepada penerbitan yang mengguna pakai kalimah Allah, namun membawa maksud yang berbeza.
“Pindaan ini membolehkan menteri berkenaan menggunakan Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) untuk mengeluarkan perintah melarang apa-apa penerbitan mengguna pakai kalimah Allah, yang boleh membawa tafsiran yang berbeza dengan tafsiran dalam RUU ini,” ujarnya.
Susulan itu, Zulkifli memohon perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menerimanya menghadap bagi memberi penjelasan mengenai RUU berkenaan. – KOSMO! ONLINE