KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan harga minyak peket, sebaliknya akan memperkenalkan mekanisma subsidi bersasar selepas sistem Pangkatan Data Utama (Padu) siap sepenuhnya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah untuk meningkatkan harga barangan keperluan itu belum sesuai dilaksanakan berikutan rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup.
“Kerajaan akan memulakan inisiatif pemberian subsidi bersasar kepada rakyat kerana subsidi minyak masak peket dan minyak petrol RON95 menelan belanja yang besar.
“Namun, buat masa, kita masih kekalkan subsidi demi rakyat. Apabila ekonomi pulih, kita wujudkan kembali ekosistem yang sempurna.
“Ini termasuk subsidi bersasar (kepada mereka yang layak) sekali gus kerajaan dapat berjimat dari segi perbelanjaan negara,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Azli Yusof (Shah Alam) sama ada kerajaan berhasrat menaikkan harga minyak masak peket sebagai langkah mengurangkan ketirisan dan menggalakkan persaingan sihat antara pengeluar. – KOSMO! ONLINE