fbpx

Ciuman dan pelukan terakhir suami sebelum lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norafisah (dua dari kiri) ketika menunggu jenazah suaminya, Mohd. Farizan (gambar kecil) di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR – Seorang wanita tidak menyangka ciuman diberikan suami sebelum keluar ke laut untuk memukat udang adalah yang terakhir apabila lelaki itu ditemui mati lemas selepas perahu dinaikinya di badai ribut di Kuala Sala, dekat sini kelmarin.

Menurut Norafisah Mohd. Yaffar, 42, suaminya, Mohd. Farizan Tajuddin, 41, turun ke laut bersama abangnya, Mohd. Faudzi, 48, kira-kira pukul 3.30 pagi, ­kelmarin.

“Selalu bila keluar ke laut, arwah cuma salam dengan saya tetapi semalam dia cium kedua-dua belah pipi saya dan peluk lama. Saya jadi pelik dan hati mula terdetik sesuatu.

“Luluh jantung saya apabila dapat berita arwah dan abang ipar hilang di laut sebelum mayat mereka ditemui petang semalam (kelmarin). Walaupun masih bersedih, kami sekeluarga reda de­ngan ketentuan ini,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini semalam.

Kata suri rumah itu, suaminya baru berjinak-jinak dalam aktiviti memukat udang sejak tiga bulan lepas bagi membantu dua abangnya iaitu Allahyarham Mohd. Faudzi serta Abu Bakar, 45, yang terselamat dalam keja­dian tersebut.

“Dulu kami berniaga di Bukit Mertajam, Pulau Pinang tetapi berhenti dan sementara menu­nggu tempat baharu untuk berniaga balik, suami tolong abang-abangnya ke laut tangkap udang.

“Benda hendak jadi. Sebelum meninggal arwah juga pernah cakap dia penat dan nak tidur lama-lama, sekarang saya faham kata-katanya,” ujarnya.

MOHD. FAUDZI dan adiknya, Mohd. Farizan ditemui lemas selepas perahu mereka di badai ribut ketika memukat udang di Kuala Sala, Alor Setar kelmarin.

Mohd. Farizan meninggalkan tiga anak hasil perkahwinan terdahulu.

Sementara itu, kakak mangsa, Jamilah, 50, berkata, dia sekeluarga terutama ibu mereka, Maliah Shafie, 74, terkejut de­ngan kehilangan dua beradik itu sekali gus dalam sekelip mata.

“Mohd. Faudzi dan Abu Bakar belum berkahwin lagi dan tinggal bersama ibu. Mohd. Farizan pula baru pulang tinggal di sini, memanglah ibu sangat bersedih tetapi kami reda,” katanya.

Bercerita tentang kejadian itu, katanya, tiga beradik itu sering ke laut pada awal pagi untuk memukat kerana pendaratan udang dikatakan banyak ketika itu.

“Mereka selalu pergi tak jauh, cuma memukat di tepi-tepi dekat darat saja. Sehari sebelum kejadian mereka dapat hasil jualan cecah sehingga RM300.

“Adik, Abu Bakar bercerita ribut datang tiba-tiba dan mereka tak sempat berpatah balik sebelum perahu terbalik,” katanya.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, mayat dua beradik itu ditemui di kawasan berlumpur di paya bakau dekat Kuala Kangkong, di sini pada pukul 4.20 petang dan 5.40 petang, kelmarin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI