fbpx

Calon PRN: Tengku Zafrul serah kepada pucuk pimpinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau akur dengan sebarang keputusan yang bakal dibuat pucuk pimpinan UMNO berkenaan menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Jelas beliau, sebagai orang parti apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pemimpin tertinggi sama ada bertanding atau tidak beliau akan terima dan akur dengan keputusan tersebut.

“Untuk menjadi calon itu adalah kuasa dari pucuk pimpinan, saya serahkan kepada mereka sama ada sesiapa sahaja yang bakal ditetapkan sebagai calon.

“Secara peribadi juga saya terpulang kepada pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN), apa saja keputusan saya akur. Saya juga tidak tahu adakah saya akan dicalonkan ataupun tidak,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke Laman Media Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU2023) di sini, hari ini.

Terdahulu, desas-desus terdapat dakwaan bahawa Menteri Perdagangan Antarabangsa itu bakal bertanding di kerusi Sungai Kandis, Selangor pada PRN tidak lama lagi.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai cadangan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar agar dirinya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor jika BN dan Pakatan Harapan (PH) memenangi negeri itu, Tengku Zafrul menyifatkan ia pandangan peribadi bekas Ahli Parlimen Rembau tersebut.

“Itu pendapat peribadi KJ (Khairy) tapi bagi saya kuasa untuk menjadi calon atau bertanding ini tertakluk kepada pucuk pimpinan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI